Skip to main content


BAB 12: PENGURUSAN PELBAGAI UPAYA

 PENGENALAN


Konsep pelbagai upaya ini secara khususnya merujuk pada individu yang kurang sempurna sama ada dalam aspek fizikal, mental dan emosi. Pelbagai upaya berkait dengan masalah kerencatan mental, penglihatan, pendengaran, pertuturan, gangguan emosi, bermasalah fizikal, tingkah laku dan masalah pembelajaran. Individu pelbagai upaya mengalami kekurangan atau kecacatan sama ada sejak dilahirkan atau pun selepas mengalami kemalangan atau masalah kesihatan yang kronik. Ketidakupayaan ini akan menimbulkan masalah dalam kemahiran belajar juga seperti kemahiran mendengar, berfikir, bertutur, membaca, menulis, mengira dan menaakul. Masalah ini berpunca daripada kegagalan fungsi sistem saraf pusat dan boleh berlaku pada pelbagai tahap umur. Individu yang mengalami masalah kegagalan fungsi saraf biasanya sukar untuk mengawal tingkah laku, membuat tanggapan dan berinteraksi sosial dan masalah ini mungkin wujud bersama masalah pembelajaran.

PEMULIHAN

Definisi Program Pemulihan Khas terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Program Pemulihan Biasa, Guru Pemulihan dan Murid Pemulihan Khas. Program Pemulihan Biasa ialah satu program pendidikan untuk pelajar yang mengalami masalah dalam menguasai kemahiran asas 3M yang kompleks kerana faktor alam sekitar. Program ini dijalankan oleh guru khas di dalam bilik khas. Guru Pemulihan/ Guru Pemulihan Biasa merupakan guru yang terlatih di institusi yang menyediakan kursus-kursus pendidikan pemulihan seperti di universiti, institusi perguruan mahu pun institut pendidikan guru sama ada dalam negara atau luar negara. Akibatnya Guru Pemulihan mempunyai kepakaran khusus untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh pelajar yang lemah dalam menguasai kemahiran asas 3M (Menulis, membaca dan mengira). Pusat Pembangunan Kurikulum (1984) pelajar pemulihan adalah mereka yang menghadapi masalah pembelajaran dalam kemahiran tertentu, negatif terhadap pembelajaran dan mempunyai kelakuan yang menyebabkan pembelajaran dan kekurangan keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran.

Program Pemulihan Khas telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semenjak tahun 1960an bagi membantu murid-murid di sekolah rendah yang menghadapi masalah khusus dalam pembelajaran iaitu menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Pada tahun 1983, sistem pendidikan Malaysia memperkenalkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang memberi fokus kepada masalah menguasai kemahiran asas. Usaha bagi menangani masalah tersebut dijalankan menerusi Program Pemulihan Khas yang diwujudkan di setiap sekolah rendah.


PENGAYAAN

Dalam proses pengayaan murid akan dapat meluaskan pengetahuan berhubung dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan unit pembelajaran. Walau bagaimanapun, murid-murid yang mengikuti kegiatan pemulihan berpeluang juga membuat kegiatan pengayaan. Sesuai dengan keperluan pendidikan kini yang tidak lagi berpusat kepada guru, program pengayaan memberi peluang kepada murid menjalankan aktiviti secara sendiri.

      Terdapat 2 jenis pengayaan iaitu pengayaan mendatar dan pengayaan menegak. Pengayaan mendatar adalah aktiviti yang berdasarkan kepada kebolehan murid dalam sesuatu kumpulan. Aktiviti melalui pengayaan mendatar ini adalah ia akan dirancang dan dilaksanakan berdasarkan kepada taraf pencapaian murid. Selain itu, murid di dalam kumpulan yang lambat akan diberikan aktiviti pengayaan yang lebih mudah dan mencabar. Tujuan pengayaan mendatar ini dilaksanakan adalah untuk memperkukuhkan kemahiran yang telah dikuasai. Pengayaan menegak ialah aktiviti yang berdasarkan minat dan bakat murid dalam kumpulan cerdas sahaja. Berdasarkan kepada konsep pengayaan menegak ini, aktiviti akan dirancang dan dilaksanakan dalam bentuk yang lebih kompleks, mencabar dan dalam peringkat yang lebih tinggi daripada pencapaian murid darjah biasa. Secara tidak langsung ini dapat mewujudkan kegembiraan, mencungkil bakat dan kerjasama sesama mereka.

PELBAGAI KECERDASAN  

Autisme
Menurut Norfishah Mat Rabi (2016) mengatakan IDEA 2004 mendefinisikan autisme sebagai ketidakupayaan perkembangan yang secara signifikannya mempengaruhi komunikasi verbal dan nonverbal, interaksi sosial yang selalunya dapat dikesan pada usia sebelum 3 tahun (Pierangelo & Guiliani, 2007; Trevarthen et al., 2006). Ciri watak lain yang turut serta ialah aktiviti berulang-ulangan dan pergerakan yang stereotaip, penolakan atau tentangan terhadap perubahan persekitaran atau perubahan dalam rutin harian dan respons luar biasa terhadap pengalaman deria. Menurut American Psychiatric Association (APA, 2000), autisme dikaitkan dengan kesukaran bersosial, kurang upaya berkomunikasi dan tingkah laku berhalangan. Hal ini menyebabkan dunia kanak-kanak autisme masih menjadi misteri kerana tiada siapa tahu apa yang bermain dalam fikiran mereka, khususnya apabila mereka mula menunjukkan kecelaruan tingkah laku, sama ada tidak mengendahkan orang lain, asyik mengulangi perkara sama atau melakukan perkara yang boleh mencederakan diri.


BERKEPERLUAN KHAS

Kanak-kanak yang memerlukan keperluan khas ini biasanya adalah murid yang mengalami masalah pembelajaran. Antara murid yang mempunyai masalah pembelajaran ialah :

Murid Hiperaktif dan Tumpuan Terganggu (ADHD).
Kanak-kanak dalam kategori murid hiperaktif dan tumpuan terganggu biasanya sangat aktif dan mempunyai tenaga yang berlebihan.

Sindrom Down
Kanak-kanak sindrom down kerana kromosom yang abnormal dan mereka dikategorikan kanak-kanak terencat akal. Kanak-kanak sindrom down mempunyai 47 kromosom, iaitu lebih satu kromosom daripada kanak-kanak biasa.

Palsy Serebrum
Palsi serebrum bermaksud ada gangguan terhadap pergerakan atau mobiliti seseorang murid. Murid tersebut tidak boleh menggunakan sebahagian daripada otot di dalam badan dalam keadaan biasa akibat daripada berpunca daripada virus atau kekurangan oksigen. Pendidikan sempurna, terapi dan teknologi terkini dapat membantu murid untuk menjalani kehidupan biasa seperti orang lain (Ramlan Salim, 2015).

KESIMPULAN

Secara keseluruhan Golongan Pelbagai Upaya ini merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain ( Muhammad Nur Hafiz Ahmad, et. al 2017). Walaupun golongan ini dilihat sebagai minoriti, namun golongan ini juga sewajarnya mendapat peluang yang sama seperti individu normal yang lain dari segala aspek. Ini kerana murid pelbagai upaya ini juga mempunyai kelebihan dirinya tersendiri yang apabila dibantu oleh guru akan menjadikan murid tersebut sebagai seorang yang hebat. Kesabaran daripada pihak guru sangat diperlukan bagi mendidik murid pelbagai upaya ini kerana pada hakikatnya guru perlu mengikut rentak dan emosi murid tersebut. Berbeza dengan pelajar arus perdana, dapat mengawal emosi dengan baik.

Comments