Skip to main content


Sejarah Tingkatan 1 ms 123-124


Kedah

Orang Cina memanggil negeri Kedah sebagai Cheh-Cha. Pedagang India pula memanggilnya sebagai Kataha, Kalagam atau Kadaram. Manakala pedagang Arab menyebutnya sebagai Kalah atau Kalah Bar. Orang Siam pula mengenali daratan Kedah sebagai Sai.
           Sultan Muzaffar Shah telah membahagikan Kedah kepada tiga pusat pentadbiran iaitu, Kota Palas, Langkawi dan Kota Ulu. Kemudiannya, pusat pentadbiran Kedah berpindah sehinggalah pada tahun 1735 apabila Kota Setar menjadi pusat pemerintahan yang baru. Di situlah wujudnya bandar Alor Setar yang menjadi ibu negeri Kedah sekarang.
           Kedudukan Kedah yang strategik telah menarik minat kedatangan pedagang dari Arab, Parsi, India, Sri Lanka, China dan Barat. Sebagai kerajaan yang maju pada masa itu, Kedah terpaksa menghadapi cabaran daripada kuasa luar. Bagi memastikan keselamatannya, Kedah perlu mendapat sokongan daripada negara jirannya iaitu Siam. Oleh itu, Kedah telah menghantar 'bunga emas' ke Siam sebagai tanda persahabatan.
            Pada tahun 1619, Kedah diserang oleh Acheh yang diketuai oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Sultan Kedah berundur ke Perlis dan meminta bantuan daripada Siam. Apabila kerajaan Siam yang berpusat di Ayuthia ditawan oleh Burma pada tahun 1767, Kedah menjalin persahabatan dengan Burma bagi menjamin keselamatannya. Ini merupakan antara kaedah yang telah digunakan oleh sultan Kedah untuk menjamin keselamatan negerinya.
            Pada kurun ke-18, kerajaan Kedah kurang stabil kerana diancam oleh Siam serta berlaku perebutan takhta dan pertikaian di kalangan kerabat raja. Sultan Kedah telah meminta pertolongan Inggeris untuk menghadapi ancaman Siam. Hubungan baik antara Kedah dengan Inggeris dan keengganan Kedah akur pada Siam menyebabkan Siam menakluk Kedah pada tahun 1821. 
            Sultan Kedah, pembesar dan pengikutnya telah berundur ke Pulau Pinang. Di situ, pembesar Kedah menyusun strategi untuk menyerang tentera Siam di Kedah. Akhirnya, Kedah berjaya mendapatkan semula kemerdekaan dari Siam pada tahun 1842.
             Kedah dan Siam mula berbaik-baik dan hubungan itu bertambah erat selepas tahun 1842. Hubungan tersebut telah membantu Kedah menjadi sebuah negeri yang aman dan makmur.
             Negeri Kedah terkenal sebagai sebuah pelabuhan entrepot. Ini adalah kerana Semenajung Tanah Melayu merupakan sebuah negara perdagangan sejak 1800 tahun yang lalu. Dalam menguruskan pelabuhannya, Kedah mengamalkan Undang-Undang Laut Melaka. Pengenalan sistem sukat dan mata wang turut memudahkan urusan perdagangan. Antara hasil tempatan yang diperdagangkan ialah emas, bijih timah, lada hitam, damar, rotan, tanduk dan gading.
            Permuafakatan dan kerjasama dengan negara jiran amat penting untuk meningkatkankemajuan dan kemakmuran negara. Oleh itu, persengketaan dengan negara jiran dan sesama sendiri hendaklah dielakkan.

Comments